
Pada keesokan harinya kami bergerak ke Hujung Rintis untuk meneruskan trip memancing ‘sang jenggo’. Kami tiba lebih kurang pada pukul 7.30 pagi. Selepas bersarapan kami ke rumah pakcik Pak Su iaitu bapa saudara Tajul. Selepas menyiapkan segala senjata bagi memerangkap ‘sang jenggo’ kami terus menaiki bot menjelajahi Sungai Perak lalu berhenti di port yang pertama. Tak sampai 5 minit umpan cacing yang Epoi labuhkan direntap kasar. Dengan mengunakan rod Lemax dan kekili Ajiking Gamemaster 3000 Epoi menarik si perentap ke atas. Hasilnya udang galah sebesar 2 jari. Dua kali jugalah Epoi menaikkan udang galah di situ. Setelah setengah jam kami di situ Pak Su mencadangkan kami ke port yang lain. Berpeluh jugalah saya yang di tugaskan untuk menarik sauh.
Bot yang kami gunakan (paling kiri)
Di port-port yang seterusnya saya dan Tajul masih lagi tidak berpeluang menarik udang galah lesen kami. Agak berbulu juga hati apabila Epoi kerap menarik udang galah yang lebih kasar daripada yang mula-mula beliau perolehi tadi. Saya dan Tajul pula cuma dapat menarik ikan-ikan yang mengacau umpan. Melihatkan muka saya dan Tajul yang agak resah, Pak Su mula membawa kami ke port yang agak jauh untuk kami mendapatkan lesen. Kami bergerak lagi mencari port-port yang sesuai untuk memerangkap ‘sang jenggo’.
Di dua port terakhir barulah Tajul yang mengunakan rod Abu Garcia dan kekili Ajiking Airmax 2000 berjaya mendapatkan sepit biru berserta lesen udang galahnya. Kelihatan lebar senyuman di raut wajahnya. Setelah berpuluh-puluh ekor udang galah yang dinaikkan oleh Epoi dan Tajul, Pak Su bertanya kepada kami “uish banyak da ni, bape ekor dah?”. Saya membalas “deme banyak ler dapat, awok lesen pun tak dapat lagi”. Terpancar raut wajah yang agak putus asa di muka saya. “rilek la, awal lagi” tegur Epoi kepada saya. Saya mula menguatkan semangat untuk mendapatkan lesen udang galah pertama saya.
Akhirnya, di port terakhir kami, saya berjaya mendapatkan lesen udang galah yang pertama dengan menaikkan seekor sepit biru yang agak kasar. Tak dapat di bayangkan perasaan ketika itu, setelah hampir berputus asa berjaya juga saya mendapatkan lesen udang galah saya. Rasa kembali bersemangat untuk mendapatkan ‘sang jenggo’ untuk dibawa pulang. Dan satu lagi sentapan udang galah yang saya perolehi. Dengan menggunakan rod X-puyu dan kekili Abu Garcia Six Star dan tali sulam 20 paun tomman saya berusaha menahan sang udang dari terlepas dan hasilnya seekor udang galah yang saiznya boleh saya banggakan. Tiba-tiba rod Pak Su melendut sehingga mencecah air. Apalagi, Pak Su menahan asakan keras dari penyambar umpan. Setelah sepuluh minit Pak Su bertarung, beliau berjaya menaikkan apa yang kami impikan dari mula-mula menaiki bot iaitu seekor ‘sang jenggo’ yang besar. Melopong mulut saya melihat ‘sang jenggo’ tersebut. Kulit yang agak kebiru-biruan manakala sepit biru agak panjang serta mempunyai duri yang agak kasar. Kemudian Tajul mendapat tangkapan bonus iaitu seekor baung yang agak sedang saiznya.
Tajul bersama Pak Su yang banyak membantu
Pak Su mencadangkan kepada kami untuk bergerak mencari port untuk mendapatkan ‘jenggo’. Tapi terjadi suatu kemalangan yang tidak dijangka menyebabkan jut Epoi dan Tajul terjatuh ke dalam air. Dengan pantasnya Epoi cuba menyelamatkan jut-jut tersebut tapi apakan daya hanya jut Tajul saja yang terselamat. Pelbagai usaha digunakan untuk mendapatkan jut yang terjatuh tetapi hasilnya sia-sia. ‘takpelah, takder rezeki” ujar Epoi. Jut yang penuh dengan puluhan ekor udang galah sudah jatuh ke dalam sungai membuatkan kami hilang semangat untuk memancing. “takpelah poi, kau amiklah ‘sang jenggo’ aku nie.. Aku pun dah puas dapat” kata Pak Su kepada Epoi. Tersengih Epoi apabila Pak Su berkata begitu. Kami menunda bot ke perlabuhan.
Ketika kami mahu pulang, Pak Su menghidangkan kepada kami nasi berserta udang galah yang sudah digoreng. Mahu tak mahu kami menerima perlawaan tersebut kerana perut agak lapar. Memang enak rasa udang galah ini walaupun cuma dicicah sambal belacan. Terima kasih tidak terhingga banyaknya kami ucapkan kepada Pak Su yang telah banyak menolong kami untuk memancing udang galah. Kami berjanji akan datang lagi untuk memancing ‘sang jenggo’.
Epoi bersama "Sang Jenggo"
Mod: Story teller oleh Mokhtar Torres, Technical Specialist, Unisem M Bhd, Ipoh dari Royale Ace Team. Copy paste terus dari gebang emel trip ujung rintis dema yg penuh mengujakan dan amat sadis juga bila mengenangkan 2 karung berisi tangkapan udang terjatuh dan hanya 1 yg berjaya di selamatkan manakala 1 karung lagi tenggelam bersama jenggo yg grand size punya. Nampaknya terpenjara di lautan sepilah si jenggo dalam karung tu. Takpo lah,.. kome nak merasa tarik jenggo, maka merasalah tarik jenggo,. hahaha.. lain kali kena niat nak merasa tarik dan ratah jenggo pulak, baru boleh bawak balik. Tarikh trip 16 Jan 2011. Congrats buat Mokhtar, Epoi dan Tajul dgn trip yg penuh mengujakan. Kita tunggu next repeat trip dema ke ujung rintis nanti. -adios.
No comments:
Post a Comment